Random post

Home » » Pencen baru askar akhir bulan

Pencen baru askar akhir bulan


100,300 terima kenaikan 2.5 hingga 8 peratus secara berperingkat

KUALA LUMPUR: Seramai 100,300 pesara tentera akan menikmati kadar pencen baru dengan kenaikan antara 2.5 hingga lapan peratus yang akan dibayar secara berperingkat mulai hujung bulan ini.
Kadar baru turut membabitkan waris pesara tentera yang layak, termasuk isteri dan anak, akan ditentukan berdasarkan pemindahan gaji akhir penjawat awam ketika bersara atau tamat perkhidmatan.
Pelarasan pencen pesara itu dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah skim saraan baru ATM.

Skim saraan baru itu sejajar pelarasan pencen membabitkan lebih 600,000 pesara kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2012 membabitkan peruntukan RM600 juta, selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata seramai 20,000 pesara yang menamatkan perkhidmatan selepas 1 Oktober 2004 akan menerima bayaran pencen dengan kadar baru itu, selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Manakala baki 80,300 pesara atau penerima pencen sebelum tarikh itu akan diselaraskan selepas mendapat kelulusan penggunaan jadual gaji baru yang diluluskan di bawah SBPA ATM dan sifir pemindahan gaji oleh JPA. 
Katanya, JHEV sebelum ini membayar pencen pesara berdasarkan dua jadual gaji matriks di bawah Skim Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang bermula Oktober 2004.

“Di bawah skim saraan baru, JHEV akan membuat penyelarasan bayaran tunggakan bagi kadar pencen baru yang berkuat kuasa Januari 2012. Peruntukan kewangan bagi kenaikan pencen itu akan disediakan JPA,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Zulkiflee mengulas perkembangan terkini pembayaran pencen tentera dengan kadar baru seperti dilaporkan Berita Harian pertengahan bulan lalu membabitkan 103,000 pesara dan waris terbabit.

Akhbar ini melaporkan pesara tentera akan menikmati kenaikan pencen sebanyak lapan peratus ekoran pelarasan pencen oleh JPA dan JHEV di bawah skim saraan baru itu dan menjangkakan pesara tentera akan menerima pencen bulanan minimum lebih tinggi berbanding RM720 diterima sebelum ini.

Bagaimanapun, Zulkiflee menjelaskan kenaikan pencen lapan peratus itu hanya membabitkan sebilangan pesara dan penerima pencen dengan analisis semasa JHEV menganggarkan kenaikan pencen sekurang-kurangnya 2.5 peratus akan dinikmati pesara tentera.


Katanya, JHEV juga sedang menaik taraf sistem sedia ada mulai bulan lalu bagi mengatasi masalah teknikal antara jabatan itu dan bank pembayar, khususnya berkaitan pembayaran pencen dan bantuan kebajikan kepada pesara tentera.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji, bermula 2013. 

0 comments:

Post a Comment

Fb Like

Followers

Blogged.my