Pemain Arsenal, Robin van Persie (kanan) melakukan percubaan ke gawang Bolton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Reebok, Bolton semalam. - AGENSI
BOLTON - Arsene Wenger yakin Arsenal tetap berpeluang meraih slot Liga Juara-Juara walaupun terus hampa dalam usaha mencatatkan kemenangan apabila seri tanpa jaringan dengan Bolton dalam Liga Perdana Inggeris semalam.
Ia merupakan mata pertama Gunners dalam empat perlawanan dan kelab itu kekal lima mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea, yang seri dengan Swansea kelmarin.
Arsenal jatuh ke tangga ketujuh liga.
Skuad Wenger mempunyai banyak peluang untuk memenangi perlawanan semalam, khususnya menerusi percubaan Robin van Persie yang terkena palang dan tiang pada babak kedua.
"Kami masih mempunyai masa yang panjang dan saya yakin kami akan membuat kebangkitan.
"Kami pernah melalui tempoh yang sukar, kami kalah tiga perlawanan berturut-turut, tetapi kami mungkin boleh menang selepas ini.
"Pasukan ini sudah ada keyakinan tetapi kami perlu buktikan dalam setiap perlawanan. Bagi kami setiap perlawanan umpama perlawanan akhir.
"Ini merupakan sebahagian asam garam dalam bola sepak apabila kalah dalam tiga perlawanan sebelum ini, namun apabila anda berjaya mengelakkan kekalahan keempat, ia tidaklah seteruk mana, " kata Wenger.
Peluang gol terbaik Arsenal hadir pada minit ke-30 apabila tandukan Van Persie dikeluarkan di atas garisan gol.
Theo Walcott juga berpeluang meledak gol apabila hanya berdepan penjaga gol Adam Bogdan tetapi percubaannya ditepis.
"Kami membuang dua mata kerana kami berpeluang untuk memenangi perlawanan. Ini adalah pertemuan yang sukar kerana pasukan lawan mengawal ketat pemain kami dan menunggu peluang untuk menyerang.
"Apa yang membuat kami rasa kecewa adalah kerana tidak menyudahkan peluang gol pada awal perlawanan. Jika tidak ia mampu mengubah rentak permainan sebaliknya lawan bertahan dengan baik dan kami terus buntu jaringan yang menyebabkan mereka menukar taktik, " katanya.
Penyerang Bolton, David Ngog mempunyai dua peluang gol untuk meletakkan Bolton mendahului pada babak pertama sebelum mereka memberi ancaman pada penghujung separuh masa kedua melalui Mark Davies.
"Kami beraksi pada perlawanan ini dengan prestasi yang semakin baik tetapi kami tetap kena bekerja keras ke atas pasukan yang ada kualiti.
"Adam berjaya menyelamatkan percubaan Walcott dan David Ngog serta beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama.
"Pada babak kedua rentak permainan semakin laju dan kami rasa boleh menang perlawanan ini namun saya gembira dengan keputusan ini," katanya. - AGENSI
0 comments:
Post a Comment