KOTA BHARU - Seorang pemilik butik di sini, Nur Eilunie Natasha Nazri semalam tampil membuat pengakuan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan cinta dengan penjaga gawang nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek .
Gadis berkulit putih berusia 21 tahun itu yang lebih mesra dipanggil 'Leuniey' turut menafikan tonggak utama The Red Warriors itu menjadi punca beliau memutuskan ikatan pertunangan dengan anak seorang usahawan batik di negeri ini.
Menurutnya, ikatan pertunangan tersebut diputuskan atas sebab masalah peribadi dan bukannya kehadiran orang ketiga.
"Saya terima berita ini (putus tunang) sebagai satu dugaan, mungkin telah tersurat jodoh kami telah tiada. Perkara ini telah diselesaikan dengan baik dan keluarga saya telah berjumpa dengan keluarga bekas tunang saya itu.
"Kedua-dua pihak menerima keputusan ini dengan sebaiknya. Saya ingin tegaskan perkara ini tidak ada kena mengena dengan Apek," katanya dalam sidang akhbar di butiknya di sini semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah ibu bapanya, Nazri Adnan, 43, dan Noor Laila Abu Bakar, 43, serta pengurus syarikat Khairul Fahmi Resources (M) Sdn. Bhd (KFR), Syed Ahmad Mohd. Yusof.
Sebelum ini, sebuah portal berita detikperubahan.com melaporkan Apek kini dikatakan hangat bercinta dengan gadis manis bernama 'Leuniey'.
0 comments:
Post a Comment