Random post

Home » » kencing manis (Diabetes mellitus)

kencing manis (Diabetes mellitus)

http://obatpenyakit.org/wp-content/uploads/2011/07/kencing-manis-250x300.jpg



Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua semenjak abad ke lima lagi.


Nama lain kencing manis, diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu.
Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.

Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glokos dalam darah.

Apakah Insulin

Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets (kepulauan kecil). Insulin bertugas untuk menceranakan glukos dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.

Apa itu kencing manis (Diabetes mellitus)

Kencing manis atau diabetes mellitus merupakan keadaan di mana terdapat glukos di dalam air kencing seseorang. Ini disebabkan glukos (gula) dalam darah tidak dapat diceranakan oleh badan disebabkan oleh sama ada kekurangan penghasilan insulin, kurang keberkesanan isulin, atau kedua-duanya sekali. Glukos yang berlebihan itu akan dikeluarkan bersama air kencing. Kencing manis boleh menyebabkan masalah lain dan kematian, bagaimanapun pengidap kencing manis boleh mengambil langkah-langkah untuk mengawal atau mengurangkan risiko masalah sampingan.

Malaysia telah dikelaskan sebagai sebagai negara keempat tertinggi di Asia yang mempunyai penghidap kencing manis. Berdasarkan perangkaan Institut Diabetes Antarabangsa, pesakit kencing manis di Malaysia juga dijangka meningkat daripada 800,000 orang pada tahun lepas kepada 1.3 juta orang menjelang tahun 2010. Memandangkan jumlah pengidap kencing manis sentiasa bertambah saban tahun, amatlah perlu bagi rakyat Malaysia untuk mengubah tabiat permakanan agar kencing manis dapat dibendung. Ini termasuk diri anda sendiri.

Jenis-jenis kencing manis (Diabetes mellitus)

Kencing manis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu :-

1. Diabetes bersandar insulin - jenis pertama (Type 1 diabetes)

Diabetes jenis pertama (Type 1 diabetes) juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent' ) atau diabetes awal remaja.

Pengidap diabetes bersandar insulin boleh hidup seperti normal selagi mereka menerima suntikan insulin, tetapi mereka akan menerima maut sekiranya mereka tidak mendapat suntikan insulin dalam tempoh yang agak singkat. Ini adalah disebabkan penguraian sumber bahan tenaga lain oleh badan seperti lemak bagi menggantikan tenaga dari glukos. Penguraian sumber bahan tenaga lain akan menghasilkan bahan sampingan seperti ketones yang menyebabkan keadaan hiperglisemia (hyperglycemia). Ketones merupakan molekul asid yang mampu menyebabkan kegagalan metabolisma dan sel badan gagal berfungsi. Keadaan ini sekiranya berlarutan akan mengakibatkan pengidap kencing manis menjadi koma dan menemui maut sekiranya tidak dirawat.

Diabetes jenis pertama ini terbentuk apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel beta kelenjar pankreas, satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan untuk penghadaman glukos kepada tenaga. Diabetes ini sering didapati pada golongan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan beberapa suntikan insulin setiap hari, atau menggunakan pam insulin, untuk terus hidup. 5% hingga 10% pengidap diabetes merupakan dari jenis kencing manis jenis I. Mereka yang berisiko mengidap kencing manis jenis I adalah serangan sistem imunisasi sendiri (autoimmune), genetik, dan alam sekeliling.

Diabetes bersandar insulin lebih kerap dikesan di masyarakat Barat. Ini mungkin disebabkan oleh genetik, kesedaran yang lebih luas dikalangan masyarakat barat, atau kurang kesedaran dikalangan masyarakat Asia mengenai penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak. Lambat mendapatkan rawatan bagi diabetes bersandar insulin boleh membawa maut, oleh itu sekiranya diabetes bersandar insulin tidak dikesan dengan lebih awal, pengidap diabetes tidak berpeluang untuk dirawat. Bagaimanapun peningkatan kes diabetes dikalangan masyarakat Asia mungkin sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kesedaran mengenai penyakit diabetes dikalangan umum. Ini menyebabkan lebih ramai orang sempat mendapatkan rawatan di hospital.

Pengidap diabetes bersandar insulin perlu disuntik sebelum makan dan kadang-kala insulin tambahan perlu disuntik pada waktu malam sebelum tidur. Ibu bapa hendaklah menyimpan rekod bacaan paras gula anak mereka untuk perhatian dan tindakan susulan daripada doktor dan pakar pemakanan. Paras gula yang direkodkan itu amat penting untuk membolehkan doktor mengubah suai pemakanan kanak-kanak terbabit dan mengubah dos insulin. Ini disebabkan kekurangan dan lebihan paras gula dalam darah boleh meninggalkan kesan buruk dan pelbagai gejala kepada pesakit diabetes.

Bagaimanapun sekiranya terlalu banyak insulin diambil atau disuntik, keadaan sebalinnya mungkin berlaku. Keadaan ini yang dikenali sebagai hipoglisemia disebabkan kekurangan glukos dalam darah dan boleh diatasi dengan mudah dengan pengambilan makanan atau minuman yang bergula.

2. Diabetes bebas insulin - jenis kedua. (Type II diabetes)

Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga dikenali sebagai diabetes peringkat permulaan dewasa. 90% hingga 95% daripada pengidap kencing manis mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya bermula dengan ketahanan insulin, dimana badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila keperluan menggunakan insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak lagi mampu mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya berlaku seiring dengan faktor usia lanjut, gemuk (obesity), terencat ketahanan glukos, keturunan atau bangsa (genetik) dan kurang bersenam. Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga semakin meningkat dikalangan kanak-kanak dan golongan remaja di Malaysia.

3. Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)

Diabetes ketika hamil merupakan sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Diabetes ketika hamil sering didapati di kalangan orang Amerika keturunan Afrika, Hispanik/Latin, dan Red Indian. Diabetes ketika hamil juga biasa didapati dikalangan wanita kuat makan, atau wanita yang dari keturunan pengidap diabetes. Ketika mengandung, diabetes ketika hamil memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan. Selepas mengandung, kebanyakan wanita 90% hingga 95% kembali sembuh. Sebahagian kecil pula antara 5% hingga 10% didapati mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20% hingga 50% mengidap diabetes dalam tempoh 5 hingga 10 tahun. Diabetes ketika hamil juga meningkatkan lagi risiko bayi mempunyai paras bilirubin yang tinggi (demam kuning) berbanding bayi normal.

4. Diabetes bentuk lain

Terdapat diabetes yang disebabkan oleh faktor genetik (peringkat permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat permakanan, jangkitan, dan penyakit lain. Diebetes bentuk lain membentuk 1% hingga 5% daripada semua penyakit kencing manis yang dikenal pasti.

Apakah tanda-tandanya?

Tanda-tanda kencing manis adalah seperti berikut :-


1. Sering dahaga dan sering perlu minum air.
2. Sering ketandas.
3. Terasa badan lemah.
4. Berat badan turun dengan cepat.
5. Penglihatan semakin kabur.
6. Terasa pening kepala.

Kadang-kala pengidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Hanya dengan pemeriksaan doktor dapat menunjukkan dan mengesan kencing manis pada peringkat awal. Bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani pemeriksaan untuk mengesan kencing manis sekali setiap tahun.
Masalah sekiranya Kencing Manis tidak dikawal.

Sekiranya penyakit kencing manis tidak dikawal dalam tempoh yang berlanjutan pengidap kencing manis akan sentiasa mempunyai kadar gula yang tinggi didalam darahnya. Kadar gula tinggi yang berterusan akan mendatangkan banyak perubahan pada bahagian saluran darah dan juga urat(nerve). Perubahan-perubahan ini pula boleh mendatangkan penyakit lain seperti:-

* Hujung kaki tangan menjadi sebal, hilang deria sentuh, disebabkan oleh kerosakan urat/nerve.
* Gatal-gatal badan yang disebabkan kerosakan urat/nerve.
* Kurang daya syahwat bagi kaum lelaki yang disebabkan kerosakan urat/nerve dan saluran darah.
* Sering kencing malam disebabkan buah pinggang gagal mengitar air seperti biasa. Ini mengakibatkan pundi kencing penuh dengan lebih cepat.
* Kegagalan fungsi buah pinggang. Ini disebabkan oleh kerosakan saluran darah dan ginjal disebabkan kandungan gula yang tinggi terlalu lama.
* Sakit jantung disebabkan kerosakan saluran darah.
* Serangan angin akhmar disebabkan kerosakan saluran darah.
* Buta disebabkan kerosakan mata. Kanta mata menjadi kurang kenyal disebabkan kandungan gula yang tinggi.

Bagaimanapun sekiranya pengidap kencing manis mengambil langkah yang sewajarnya, kadar gula dalam darah boleh dikawal dan pengidap kencing manis dapat hidup seperti orang lain. Makanan yang seimbang perlu dikawal seumur hidup disebabkan penyakit kencing manis masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
Golongan berisiko tinggi.

Mereka yang dikelaskan dalam kumpulan risiko lebih tinggi adalah :-

* Mereka yang mempunyai keturunan yang mengidap Kencing Manis (Ibu bapa, adik-beradik)
* Mereka yang berat badan agak tinggi
* Mereka yang pernah mempunyai radang pada Pancreas
* Wanita mengandung yang pernah menghadapi kencing manis ketika hamil.

Bagaimanapun penyakit kencing manis mampu menyerang sesiapa juga pada semua peringkat umur sekiranya permakanan dan minuman tidak dijaga.

Mengesan kencing manis

Kencing Manis dapat dikesan dengan ujian air kencing atau ujian darah. Ujian darah amat mudah digunakan dan dapat mengukur kadar gula dalam darah dengan tempoh beberapa minit sahaja. Selain itu terdapat ujian daya tahan glukos dimana pesakit akan disureh meminum minuman bergula dan mereka diuji untuk memastikan peningkatan kadar glukos. Selain itu ujian puasa glukos di mana mereka yang diuji akan dilarang makan atau minum semalaman sebelum mereka diuji untuk menentukan kadar glukos mereka.

Masalah pengidap Kencing Manis

Bagi pesakit kencing manis yang tidak mengawal penyakit mereka, mereka berhadapan dengan kesan yang lebih serius. Antara kesannya ialah :-

* Kegagalan buah pinggang
* Serangan jantung
* Kebutaan / Katarak
* Koma (hilang kesedaran)
* Angin ahmar (strok)
* Sakit saraf atau "mati pucuk"
* `gangrene' atau anggota tubuh mati/membusuk

Pengidap kencing manis yang bergantung kepada suntikan insulin berhadapan dengan beberapa masalah untuk mengawal kadar gula dalam darah, antaranya adalah :-

1. Kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia. Ini mungkin disebabkan terlebih mengambil insulin
2. Lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia. Ini mungkin disebabkan oleh tidak mengambil insulin.



Tanda-tanda kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia ialah:


* Cemas.
* Berdebar-debar.
* Berpeluh.
* Menggeletar.
* Terasa lapar.
* Terkeliru.
* Penglihatan kabur.
* Pening lalat.
* Tidak sedarkan diri.


Tanda-tanda lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia ialah:


* Sering membuang air kecil, terutama pada sebelah malam.
* Kerap terasa haus.
* Muntah-muntah.
* Badan semakin kurus.
* Koma.
* Sukar bernafas.
* Sakit perut.


Penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak kadang-kala sembuh secara spontan untuk sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai tempoh berbulan madu "honeymoon period". Secara lazimnya, ia bertahan hanya untuk tempoh di antara enam bulan hingga beberapa tahun. Sekiranya anda atau anak anda berhadapan dengan keadaan ini, anda masih perlu menjaga pemakanan anda sebaik-baiknya kerana penyakit kencing manis boleh berulang. Secara lazimnya penyakit kencing manis tidak ada ubat dan pengidap kencing manis perlu menjaga pengambilan gula serta mengambil ubat sepanjang hayat. Hanya dalam kes pembedahan bagi menggantikan atau menanam sel kelenjar pankreas maka badan kembali mampu untuk menghasilkan insulin secukupnya.

Masalah yang sering dihadapi ibu bapa

Apabila anak semakin dewasa dan mencapai usia akil baligh, mereka akan berdepan dengan krisis pemakanan. Lazimnya, keadaan ini berlaku disebabkan pengaruh kawan-kawan. Dalam menangani keadaan ini, ibu bapa perlu bijak untuk memahami keadaan anak mereka. Sebaik-baiknya dapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar psikologi jika perlu.

Dalam tempoh ini juga, ibu bapa perlu mengambil berat dan mengawasi diet anak mereka itu untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti individu normal.

Datuk atau nenek juga kadangkala menimbulkan masalah kepada ibu bapa. Ini kerana, golongan itu akan memberi apa saja yang dikehendaki anak berpenyakit diabetes atas alasan kasihan.

Justeru, ibu bapa hendaklah tegas dalam corak pemakanan anak mereka dan mengetepikan perasaan kasihan kepada mereka untuk memastikan paras gula di dalam tubuh tidak terus meningkat, sekali gus memendekkan tempoh masa kanak-kanak itu menjadi mangsa serangan penyakit jantung, tekanan darah tinggi strok, rosak penglihatan dan buah pinggang.

Perubatan

Perubatan pula terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:

1. Melakukan senaman dan menjaga makan minum. (lihat permakanan.)
2. Ubat berbentuk pil yang dimakan.
3. Suntikan.
4. Pembedahan. (Pada masa akan datang)



1. Penjagaan permakanan
Dianggarkan di Amerika bahawa 17% pesakit kencing manis hanya perlu menjaga makan minum mereka, 49% pesakit kencing manis mengambil pil, 22% mengambil insulin sahaja dan 11% mengambil insulin dan pil. (Sumber : 1997-1999 National Health Interview Survey)

2. Ubat berbentuk pil

Ubat berbentuk pil adalah perubatan yang paling mudah dan murah. Ia sering digunakan dan sering menjadi pilihan pertama para doktor. Ada berbagai pil untuk merawat kencing manis pada masa ini dan cara memakannya berbeza bagi setiap pesakit dan setiap pil-pil tersebut. Oleh kerana itu, cara pemakanan pil-pil ini, kesannya dan sebagainya tidak dapat dibincang disini. Bagaimanapun untuk semua ubat pil, perlu dimakan pada waktu dan dengan sukatan yang ditetapkan. Kegagalan mengikut arahan doktor bukan sahaja boleh memburukkan keadaan malah boleh membawa maut.

Pengambilan ubat juga perlu disertai dengan pengawalan pengambilan makanan dan minuman, melakukan senaman, dan mengurangkan berat badan agar lebih berkesan. Langkah-langkan ini juga mengelakkan keadaan di mana ubat yang diambil menjadi kurang berkesan dan pesakit perlu beralih pada suntikan insulin.

3. Suntikan

Terdapat dua jenis suntikan diabetis iaitu :-

Yang pertama adalah golongan pesakit yang dikenali sebagai IDDM (insulin dependant diabetes mellitus) dimana kadar gula seseorang itu hanya dapat diturunkan dengan suntikan insulin sahaja. Pengidap kencing manis jenis ini memerlukan suntikan insulin untuk terus hidup.

Yang kedua adalah bagi pesakit kencing manis yang kadar gulanya masih tidak dapat dikawal dengan sempurna walaupun dengan penjagaan pemakanan dan ubat pil yang dimakan dengan maksima.

Seperti ubat pil yang dimakan, berbagai jenis ubat suntikan kencing manis boleh didapati pada masa ini. Cara suntikkan juga canggih dan mudah digunakan. Seringkali masyarakat kita merasakan berat untuk memulakan ubat dengan cara suntikan tetapi kita seharusnya pulang kembali tentang fahaman kita tentang penyakit kencing manis ini iaitu kawal kadar gula dalam darah supaya tidak timbul penyakit-penyakit lain!

4. Pembedahan

Pembedahan masih diperingkat penyelidikan. Bagaimanapun pemindahan sel kelenjar pankreas telah berjaya dijalankan pada haiwan dan pada masa hadapan pembedahan pada manusia mungkin membolehkan badan kembali mampu untuk menghasilkan insulin secukupnya.


Mengelak Kencing Manis

Perubahan cara hidup

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance - IGT), atau kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG). Kajian menunjukkan kedua-dua keadaaan merupakan tanda awal kencing manis tetapi mampu diterbalikkan dengan kawalan permakanan yang betul.

Selain itu, tidak salah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah awal untuk turut serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kencing manis dengan melakukan beberapa perkara iaitu: -

Pemakanan

Ramai berpendapat bahawa pemakanan hanya merangkumi pemakanan gula sahaja. Tetapi walaupun pemakanan gula seharusnya disekat, ini tidak bermakna makanan-makanan lain kesemuanya dapat dimakan seberapa banyaknya. Pemakanan seharusnya dikurangkan kerana selain daripada gula, bahan-bahan karbohidrat yang lain juga seharusnya dikurangkan. Ini adalah kerana kadar kalori pada sesehari itu seharusnya dikurangkan. Untuk kepastian bahawa pemakanan yang dimakan tidak melebihi batas. Catatkan apa yang sering dimakan dalam sehari dan bincangkan dengan doktor.

Senaman

Senaman juga penting tetapi ianya perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor. Senaman berfungsi dengan tiga cara iaitu membantu menggunakan kalori yang lebih yang mungkin dimakan, membantu mengurangkan berat badan dan akhir sekali dapat juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (cardiorespiratory) kita. Satu kajian mengenai kencing manis dalam tempoh 3 hingga 6 tahun mendapati senaman seperti berjalan selama 2 1/2 jam dalam tempoh seminggu boleh mengurangkan perkembangan diabetis sebanyak 40% - 60%.

Penjagaan berat badan

Telah dikenali yang mereka yang berat badan tidak tinggi lebih mudah dikawal taraf gula di dalam darah mereka dan dengan itu ubat dapat dikurangkan. Setengah-setengah dari pesakit kencing manis dapat menghentikan ubat kesemua sekali setelah berat badan dapat dikawal.

Pemeriksaan diri sendiri

Seseorang itu seharusnya berwaspada tentang apa-apa perubahan pada badan mereka iaitu dari segi kulit (lagi-lagi pada bahagian kaki), rasa sebal/kebas pada hujung jari tangan atau kaki dan apa-apa perubahan lain yang dirasakan. Selain dari itu, pemeriksaan oleh doctor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti terus dijalankan.

Pemeriksaan oleh doktor secara tahunan

Ujian berkala secara tetap terutama mereka yang berisiko tinggi mampu mengesan kencing manis pada peringkat awal. Ini membolehkan pengidap kencing manis mengambil langkah awal untuk merawat diri mereka. Dianggarkan bagi setiap 1% pengurangan kadar ujian darah A1C, mampu mengurangkan masalah berkait kencing manis sebanyak 40%. Selain itu rawatan awal kencing manis juga mampu mengurangkan 30% hingga 70% kegagalan buah pinggang berfungsi. Penjagaan anggota kaki tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan komplikasi jangkitan sebanyak 45% - 85%.

Pengambilan Ubat

Pengambilan ubat untuk mengelakkan kencing manis masih diperingkat kajian di Amerika Syarikat. Ubat seperti metformin didapati mengurangkan peratusan mengidap kencing manis sebanyak 31%. Rawatan menggunakan metformin lebih berkesan bagi mereka yang berusia muda, dan gemuk. Rawatan metformin kurang berkesan pada mereka yang normal untuk mengelakkan kencing manis.

Keadaan IGT dan IFG

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance - IGT), atau kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG). Kajian menunjukkan bahawa dianggarkkan di Amerika bagi mereka yang berumur 40 - 74 tahun, terdapat 15.6% yang mengidap kecacatan daya tahan glukos sementara 9.7% pula mempunyai masalah kecacatan puasa glukos yang dianggap mempunyai risiko besar untuk meningkat kepada pengidap kencing manis.

Kecacatan daya tahan glukos merujuk kepada keadaan di mana kadar glukos meningkat antara 140 sehingga 199 milligrams per dekaliter atau mg/dL selepas 2-jam ujian oral ketahanan glukos tetapi masih belum dianggap sebagai kencing manis.

- Kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG) merujuk kepada keadaan di mana kadar glukos meningkat antara 110 sehingga 125 milligrams per dekaliter atau mg/dL selepas semalaman berpuasa tetapi masih belum dianggap sebagai kencing manis. 

0 comments:

Post a Comment

Fb Like

Followers

Blogged.my