Random post

Home » » Strok (Angin Ahmar)

Strok (Angin Ahmar)

[pd_stress_070508_ms.jpg]

Infak (infarct) ialah bahagian otak yang telah "mati" disebabkan oleh kekurangan oksigen. Tisu otak boleh musnah atau mati disebabkan oleh dua perkara :
  • Strok iskemik (ischaemic stroke) berlaku apabila terdapatnya sekatan atau pun pengurangan aliran darah dalam arteri yang membekalkan darah ke bahagian otak. Ini adalah punca yang sering berlaku yang menyebabkan infak
  • Strok hemoragik (hemorrhagic stroke) pula merujuk kepada berlakunya pendarahan dalam dan di sekeliling otak dan menyebabkan berlakunya mampatan dan kecederaan pada tisu.

Jenis-jenis Stroke

Strok hemoragik (Hemorrhagic stroke)
Strok jenis ini disebabkan oleh pendarahan yang terjadi di dalam dan di sekeliling otak. Pendarahan yang berlaku di antara otak dan tengkorak dikenali sebagai pendarahan subaraknoid (subarachnoid hemorrhage). Ia biasanya disebabkan oleh aneurisma (aneurysm) yang pecah, malformasi arteriovena (arteriovenous malformation) dan juga kecederaan di kepala. Pendarahan di dalam tisu otak dikenali sebagai pendarahan intraserebrum (intracerebral hemorrhage) dan ini berpunca dari tekanan darah tinggi.

Aneurisma ialah satu keadaan di mana dinding arteri menjadi lemah, menyebabkan ia anjal dan mengembang. Pada lazimnya ia berlaku di cabang-cabang arteri.

Hipertensi atau tekanan darah tinggi ialah peningkatan tekanan darah yang menyebabkan arteri arteri yang lebih kecil dalam otak pecah . Darah yang terbebas di dalam tisu otak akan menekan arteriol-arteriol yang berhampiran menyebabkan ia pecah dan membawa kepada pendarahan yang lebih banyak. Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan infak kecil (miniature infarct) yang hampir menyerupai strok, tetapi pada tahap yang lebih kecil.

Malformasi arteriovena (arteriovenous malformation, AVM) ialah satu keabnormalan pada pembuluh darah di mana arteri bersambung terus dengan vena tanpa melalui jaringan kapilari terlebih dahulu. Tekanan dari darah yang melalui arteri menjadi terlalu tinggi untuk diterima oleh vena dan ini menyebabkan ianya mengembang . Pengembangan ini mampu menyebabkan vena itu pecah dan berdarah.

Strok iskemik

Strok jenis ini berlaku kerana terdapatnya sekatan atau pengurangan aliran darah ke bahagian bahagian otak. Sekatan ini berlaku disebabkan oleh arterosklerosis dan juga pembentukan bekuan darah. Arterosklerosis (artherosclerosis) atau pengerasan arteri adalah hasil dari pemendakan kolesterol (cholesterol) dan plak pada dinding arteri. Endapan kolesterol ini mampu menjadi cukup besar untuk menyempitkan pembuluh darah dan seterusnya mengurangkan aliran darah. Ia juga mampu untuk mengurangkan kemampuan arteri untuk anjal.
Trombus atau bekuan darah terjadi pada permukaan plak arterosklerosis yang terbentuk pada dinding arteri. Trombus mampu membesar dan seterusnya menyekat laluan dalam arteri. Sebahagian dari trombus ini boleh pecah lalu membentuk embolus. Embolus akan melalui saluran darah dan mampu menyekat arteri-arteri yang lebih kecil. Biasanya, embolus terhasil dari jantung di mana beberapa penyakit boleh menyebabkan pembentukan trombus.

Kejadian yang menjurus kepada strok

Mangsa strok biasanya akan mengalami "strok kecil" ataupun tanda-tanda amaran sebelum berlakunya serangan strok yang sebenar.
Serangan Iskemik Sementara atau Transient Ischaemic Attack (TIA) merupakan serangan amaran (warning strokes) yang biasanya mengambil masa dari beberapa minit hingga ke 24 jam. Tanda-tanda atau simptom yang timbul ini biasanya akan pulih sepenuhnya. Adalah satu kelaziman bagi seseorang pesakit mengalami beberapa siri serangan TIA ini sebelum mendapat strok yang sebenar.
Reversible Ischaemic Neurological Deficit (RIND) pula ialah serangan yang berakhir lebih daripada 24 jam. Jangkamasa pemulihan biasanya ialah 3 minggu. Selepas setiap serangan RIND, tidak akan ada tisu-tisu yang musnah, tetapi selepas satu serangan RIND, risiko mendapat infak yang lengkap akan meningkat. Infaksi lengkap adalah serangan yang boleh menyebabkan pemusnahan kekal pada tisu otak, dan boleh menyebabkan masalah seperti pengurangan fungsi sistem saraf (neurologi) yang lebih serius. Penyembuhan biasanya tidak sepenuhnya dan akan mengambil masa lebih daripada tiga minggu.

Asas Saintifik

Fungsi Otak Normal
Otak terbahagi kepada 2 bahagian; hemisfera kanan mengawal bahagian kiri badan dan hemisfera kiri mengawal bahagian kanan badan. Setiap hemisfera mempunyai 4 bahagian yang dipanggil lobus. Satu lagi bahagian yang dipanggil serebelum bertanggungjawab mengawal fungsi-fungsi harian kita. Jenis masalah atau kecacatan neurologi yang berlaku pada mangsa strok bergantung pada bahagian otak yang terlibat.
Mendapat khidmat pemulihan ialah satu kemestian bagi pesakit strok. Jurupulih Anggota dan juga jurupulih pertuturan akan membantu pesakit untuk "mempelajari semula" fungsi-fungsi yang telah hilang dan bersedia menghadapi sesuatu yang tidak dapat dipulihkan.

Faktor - Faktor Risiko

Faktor risiko boleh diubahsuai untuk strok ialah seperti berikut :
  • Penyakit jantung
  • Tekanan darah tinggi - faktor risiko yang penting yang boleh diubah dan dikawal.
  • Arterosklerosis - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung
  • Kejadian TIA yang lalu - akan lebih mudah untuk mendapat strok
  • Paras kolesterol yang tinggi - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan - meningkatkan tekanan darah
  • Obesiti - berkecenderungan mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung
  • Merokok - kerosakan pada jantung
  • Mengambil pil perancang keluarga - berserta dengan merokok, mampu meningkatkan risiko strok
Faktor risiko yang tidak boleh diubahsuai
  • Umur - risiko meningkat dengan peningkatan umur
  • Jantina - lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan wanita yang putus haid.
  • Rekod perubatan - jika seseorang mempunyai diabetes, fibrilasi atrium atau penyakit jantung yang lain, atau TIA, risiko untuk mendapat strok adalah lebih tinggi
  • Sejarah perubatan yang lalu - sekiranya anda pernah mengalami strok, risiko untuk ianya berulang adalah tinggi
  • Sejarah perubatan keluarga - sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat yang mengalami strok, risiko anda juga akan meningkat
Tanda - tanda dan Gejala

Tanda-Tanda Strok
Apabila ada perkara-perkara berikut yang berlaku tanpa sebarang amaran :
  • Terasa lemah atau kebas pada bahagian muka, tangan atau kaki, terutamanya pada sebelah bahagain badan.
  • Berlaku kekeliruan dan juga kesukaran untuk bertutur atau memahami sesuatu.
  • Kabur penglihatan, sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah mata
  • Masalah pada pergerakan atau kawalannya (kawalatur) seperti kesukaran untuk berjalan, terasa pening dan juga hilang keupayaan mengimbang atau mengawal pergerakan.

Komplikasi
  • Kecacatan Neurologi Biasa (Common Neurological Deficits) selepas strok
Strok di bahagian kiri
  • Lumpuh (paralysis) pada bahagian kanan badan
  • Kesukaran bertutur
  • Gerakan yang perlahan dan berhati-hati
  • Hilang daya ingatan terhadap bahasa
  • Mengalami disartria di bahagian muka sebelah kanan
  • Mengalami afasia iaitu tidak mampu untuk memahami dan juga bertutur dengan bahasa yang baik
  • Mengalami apraksia iaitu tidak mampu untuk mengawal gerakan otot
Strok di bahagian kanan
  • Lumpuh pada bahagian kiri badan
  • Kekurangan tumpuan dan persepsi
  • Memiliki tingkah laku yang pantas dan mengikut gerak hati
  • Mengalami hemianopia pada ruang penglihatan sebelah kiri.
  • Hilang daya ingatan
  • Mengalami disartria di bahagian sebelah kiri muka.
Istilah istilah Berkaitan
  • Lumpuh - kehilangan fungsi otot dan juga rasa
  • Hemiparesis - mengalami lemah pada sebelah bahagian badan
  • Hemianopia - kehilangan atau pengurangan separuh medan pandangan
  • Afasia - Hilang kebolehan untuk memahami dan mengeluarkan bahasa
  • Apraksia - hilang kebolehan untuk mengawal otot dan pergerakan
  • Disartria -berlaku masalah pada bahagain mulut yang menyebabkan kurang keupayaan untuk bertutur dengan baik
Diagnosis

Apabila seseorang itu telah menunjukkan gejala-gejala strok atau TIA (transient ischaemic attack), doktor akan mengumpulkan segala maklumat yang ada dan akan membuat diagnosis. Doktor akan mengambil kira semua perkara yang berlaku dan seterusnya akan :
  • Melakukan pemeriksaan fizikal dan juga sistem saraf (neurologi)
  • Menjalankan beberapa ujian makmal (darah)
  • Melakukan 'CT scan' pada pesakit
  • Melakukan beberapa ujian diagnostik yang perlu. Ujian-ujian ini adalah seperti pemeriksaan otak, untuk memeriksa keadaannya, fungsinya dan juga bekalan darah pada otak. Daripada penyiasatan, bahagian otak yang tercedera akan dapat ditentukan. Kebanyakan daripada pemeriksaan yang terlibat adalah selamat dan tidak sakit.
Ujian-ujian diagnostik terbahagi kepada tiga bahagian :
  • Ujian pengimbasan yang memberikan gambaran otak, serupa dengan X-ray
  • Ujian rekod pengaliran elektrik dan juga impuls elektrik otak
  • Ujian aliran darah yang akan menunjukkan sebarang perubahan yang berlaku pada otak
Apakah ujian-ujian pengimejan yang biasa?

CT scan atau ujian tomografi berkomputer (computed tomography) atau CAT scan adalah ujian yang utama. Ia melibatkan penggunaan radiasi untuk membentuk imej otak. Lazimnya, ujian ini ialah ujian pertama yang dilakukan terhadap pesakit strok. Keputusan yang diperolehi daripada CT scan boleh memberikan pelbagai maklumat berguna tentang penyebab strok, lokasi dan juga bahagian otak yang terlibat.
MRI atau Pengimejan resonan magnet (Magnetic Resonance Imaging) menggunakan medan magnet yang besar untuk menghasilkan imej otak. Seperti CT scan, ia juga akan menunjukkan lokasi dan juga bahagian otak yang terlibat. Imej yang dihasilkan oleh MRI adalah lebih jelas berbanding CT scan. Ia biasanya digunakan untuk diagnosis kecederaan yang kecil dan dalam.

Apakah ujian-ujian aktiviti elektrik yang terlibat?


Terdapat dua ujian yang asas bagi menunjukkan aktiviti elektrik otak,iaitu EEG (elektroensefalogram) dan juga Evoked Response. Di dalam ujian EEG, satu cakera logam yang kecil ditempatkan di permukaan kulit kepala untuk mengesan impuls elektrik. Isyarat elektrik tersebut akan dapat dirakam sebagai gelombang otak.

Ujian Evoked Response pula mengesan bagaimana otak bertindak balas pada maklumat-maklumat deria yang berbeza. Elektrod digunakan bagi mengukur impuls elektrik yang terlibat dengan pendengaran, tindakbalas tubuh dan juga penglihatan.
Apakah ujian aliran darah?
Beberapa ujian darah dijalankan terutama yang menggunakan teknologi ultrasound. Satu alat khas ditempatkan pada arteri yang disyaki - terutamanya arteri di bahagian leher ataupun pada bahagian bawah tengkorak. Jumlah darah yang mengalir kemudiannya ditentukan. Contoh ujian aliran darah yang lazim adalah pengimejan B-mode (B-mode Imaging), ujian Doppler (Doppler testing) dan pengimbasan Duplex (Duplex scanning). Ujian-ujian ini dapat memberikan maklumat yang terperinci tentang keadaan arteri yang terlibat.

Satu lagi ujian aliran darah iaitu satu prosedur perubatan yang dipanggil angiografi (arteriografi atau arteriogram). Sejenis pewarna khas disuntik ke dalam pembuluh darah dan kemudiannya gambar X-ray diambil. Angiografi akan memberikan gambaran aliran darah di dalam pembuluh darah yang terlibat. Ianya juga akan menentukan lokasi sekatan dan saiz sekatan tersebut. Ujian ini adalah sangat berguna bagi mendiagnoskan aneurisma dan juga pembuluh darah yang rosak.

Ujian - Ujian

Apabila seseorang itu telah menunjukkan gejala-gejala strok atau TIA (transient ischaemic attack), doktor akan mengumpulkan segala maklumat yang ada dan akan membuat diagnosis. Doktor akan mengambil kira semua perkara yang berlaku dan seterusnya akan :
  • Melakukan pemeriksaan fizikal dan juga sistem saraf (neurologi)
  • Menjalankan beberapa ujian makmal (darah)
  • Melakukan "CT scan" pada pesakit
  • Melakukan beberapa ujian diagnostik yang perlu. Ujian-ujian ini adalah seperti pemeriksaan otak, untuk memeriksa keadaannya, fungsinya dan juga bekalan darah pada otak. Daripada penyiasatan, bahagian otak yang tercedera akan dapat ditentukan. Kebanyakan daripada pemeriksaan yang terlibat adalah selamat dan tidak sakit.
Ujian-ujian diagnostik terbahagi kepada tiga bahagian :
  • Ujian pengimbasan yang memberikan gambaran otak, serupa dengan X-ray
  • Ujian rekod pengaliran elektrik dan juga impuls elektrik otak
  • Ujian aliran darah yang akan menunjukkan sebarang perubahan yang berlaku pada otak
Apakah ujian-ujian pengimejan yang biasa?
CT scan atau ujian tomografi berkomputer (computed tomography) atau CAT scan adalah ujian yang utama. Ia melibatkan penggunaan radiasi untuk membentuk imej otak. Lazimnya, ujian ini ialah ujian pertama yang dilakukan terhadap pesakit strok. Keputusan yang diperolehi daripada CT scan boleh memberikan pelbagai maklumat berguna tentang penyebab strok, lokasi dan juga bahagian otak yang terlibat.
MRI atau Pengimejan resonan magnet (Magnetic Resonance Imaging) menggunakan medan magnet yang besar untuk menghasilkan imej otak. Seperti CT scan, ia juga akan menunjukkan lokasi dan juga bahagian otak yang terlibat. Imej yang dihasilkan oleh MRI adalah lebih jelas berbanding CT scan. Ia biasanya digunakan untuk diagnosis kecederaan yang kecil dan dalam.

Apakah ujian-ujian aktiviti elektrik yang terlibat?

Terdapat dua ujian yang asas bagi menunjukkan aktiviti elektrik otak,iaitu EEG (elektroensefalogram) dan juga Evoked Response. Di dalam ujian EEG, satu cakera logam yang kecil ditempatkan di permukaan kulit kepala untuk mengesan impuls elektrik. Isyarat elektrik tersebut akan dapat dirakam sebagai gelombang otak.
Ujian Evoked Response pula mengesan bagaimana otak bertindak balas pada maklumat-maklumat deria yang berbeza. Elektrod digunakan bagi mengukur impuls elektrik yang terlibat dengan pendengaran, tindakbalas tubuh dan juga penglihatan.


Apakah ujian aliran darah?

Beberapa ujian darah dijalankan terutama yang menggunakan teknologi ultrasound. Satu alat khas ditempatkan pada arteri yang disyakki - terutamanya arteri di bahagian leher ataupun pada bahagian bawah tengkorak. Jumlah darah yang mengalir kemudiannya ditentukan. Contoh ujian aliran darah yang lazim adalah pengimejan B-mode (B-mode Imaging), ujian Doppler (Doppler testing) dan pengimbasan Duplex (Duplex scanning). Ujian-ujian ini dapat memberikan maklumat yang terperinci tentang keadaan arteri yang terlibat.
Satu lagi ujian aliran darah iaitu satu prosedur perubatan yang dipanggil angiografi (arteriografi atau arteriogram). Sejenis pewarna khas disuntik ke dalam pembuluh darah dan kemudiannya gambar X-ray diambil. Angiografi akan memberikan gambaran aliran darah di dalam pembuluh darah yang terlibat. Ianya juga akan menentukan lokasi sekatan dan saiz sekatan tersebut. Ujian ini adalah sangat berguna bagi mendiagnoskan aneurisma dan juga pembuluh darah yang rosak.

Pencegahan

Bagi pesakit yang sedang menjalani proses pemulihan, perkara berikut boleh membantu di dalam mengelakkan kejadian strok berulang lagi.
  • Berhenti merokok - merokok boleh menyempitkan arteri
  • Elakkan kegemukan - jaga berat badan
  • Amalkan diet yang seimbang, kurangkan pengambilan makanan berlemak
  • Lakukan senaman secara berkala, seperti senaman aerobik (berbasikal, berjoging dan berjalan)
  • Elak dan kawal tekanan perasaan atau stres
Secara amnya, bagi setiap individu yang berisiko, berikut ialah beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan strok
  • Dapatkan pemeriksaan tekanan darah anda. Sekiranya, anda tidak mengetahui tekanan darah anda, dapatkan pemeriksaan dengan segera. Anda mungkin mengalami tekanan darah tinggi dan mungkin mempunyai risiko untuk mendapat strok tanpa anda sedari.
  • Berhenti merokok. Merokok meningkatkan risiko anda untuk mendapat sakit jantung, strok dan juga kanser. Kombinasi merokok, dan juga pengambilan pil-pil perancang keluarga akan meningkatkan lagi risiko strok di kalangan wanita.
  • Makan makanan yang rendah lemak. Makanan tersebut akan mengurangkan paras kolesterol dan dapat membantu mengurangkan berat badan dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung yang merupakan risiko yang kuat untuk mendapat strok. Sekiranya anda mempunyai berat badan yang berlebihan beserta dengan tekanan darah tinggi, mengurangkan berat badan boleh menurunkan tekanan darah anda.
  • Amalkan kehidupan yang aktif. Aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko strok dengan menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
  • Ambillah ubat yang diberi oleh doktor. Sekiranya perubahan cara hidup tidak mencukupi untuk mengurangkan risiko strok anda, doktor anda mungkin akan memberi ubat untuk menurunkan tekanan darah, dan paras kolesterol disamping ubat-ubat lain jika perlu.
Kurangkan pengambilan minuman keras. Mengambil lebih daripada satu gelas sehari cukup untuk meningkatkan tekanan darah. Meminum minuman keras secara berlebihan mampu membawa kepada strok.

0 comments:

Post a Comment

Fb Like

Followers

Blogged.my